Habbatussauda Penawar Pelbagai Penyakit

Habbatussauda atau dalam bahasa saintifiknya nigella sativa merupakan sejenis tumbuhan yang banyak didapati di kawasan Mediterranean dan di kawasan beriklim gurun. Ia merupakan biji hitam yang telah dikenali semenjak ribuan tahun yang lalu dan digunakan secara meluas oleh masyarakat Timur Tengah dan India untuk mengubati berbagai jenis penyakit.

Salah satu sunnah yang biasa dirujuk oleh masyarakat Muslim apabila mengalami masalah kesihatan ialah sunnah berkaitan habbatussauda. Maksud hadis berkaitan habbatussauda berbunyi: “Pada habbatussauda itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali mati (Sahih Bukhari, Kitab al-Tibb, hadis 5688; dan Sahih Muslim, Kitab al-Salam, hadis 2215).”

Habbatussauda digunakan secara tradisional untuk beberapa keadaan untuk menghasilkan kulit muka yang cerah, membantu merawat batuk dan asma, kencing manis, selsema, rambut gugur, tekanan darah tinggi dan banyak lagi.

Ibnu Sina didalam bukunya Canon of Medicine menyatakan habbatussauda merangsang tenaga dan membantu pemulihan kepenatan dan semangat. Ibnu Qayyim pula di dalam bukunya Medicine of the Prophet menyatakan habbatussauda berupaya memulihkan penyakit seperti batuk, bronchitis, masalah perut, kecacingan dan sebagainya.

Selain itu, habbatussauda juga mampu mengatasi gangguan tidur dan menghilangkan stress. Ini disebabkan Saponin yang terdapat dalam habbatussauda memiliki fungsi seperti kortikosteroid yang dapat mempengaruhi metabolisma fungsi jantung, ginjal, otot tubuh serta saraf.

Tidak dinafikan bahawa habbatussauda mempunyai banyak manfaatnya dalam hal perubatan. Para ulama telah memberikan penjelasan yang menggambarkan bahawa banyak manfaat habbatussauda kepada manusia. Bahkan, kajian-kajian saintifik masa kini juga telah banyak membuktikan kegunaan habbatussauda dalam perubatan. Meskipun begitu, masyarakat tidak boleh mengambil kefahaman bahawa habbatussauda merupakan penawar ataupun ubat yang mampu merawat segala penyakit di dunia ini secara literal kerana kefahaman seperti itu tidak tepat. Seeloknya, terlebih dahulu kita merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang berautoriti berkenaan hal ehwal penyakit dan rawatan.