Manfaat Luar Biasa Minyak Zaitun

Minyak zaitun adalah lemak yang diperoleh hasil daripada perahan buat zaitun (Oleo europaea) yang banyak terdapat di rantau Mediterranean seperti Sepanyol, Turki dan Morocco. Minyak zaitun mengandungi lemak mono tidak tepu yang menyihatkan dan juga lemak poli tidak tepu termasuk omega 3 dan omega 6.

Secara keseluruhannya, minyak zaitun dibahagikan kepada lima jenis iaitu extra virgin, virgin olive, pure olive, extra light/light dan pomace (gred paling rendah). Daripada semua itu, extra virgin merupakan gred minyak zaitun yang paling tinggi dan mahal. Ia mengandungi kandungan antioksidan yang paling tinggi untuk melindungi sel-sel badan daripada kerosakan.

 

Antara 4 manfaat minyak zaitun adalah:

Melindungi Organ Jantung

Diet Mediterranean lazimnya mencampurkan minyak zaitun dalam setiap hidangan bagi mengurangkan risiko penyakit jantung. Minyak zaitun bertindak melindungi organ jantung dengan menurunkan tekanan darah, mencegah penggumpalan dara, melindungi dinding pembuluh darah dan menjaga kadar kolesterol dalam tubuh badan manusia.

 

Menurunkan Berat Badan

Selain daripada pengawalan jumlah pengambilan kalori, minyak zaitun dapat membantu menurunkan berat badan dan mencegah obesiti. Minyak zaitun dapat membantu mengurangkan rasa lapar. Terdapat satu kajian yang membuktikan bahawa diet yang mengandungi lemak baik dan rendah karbohidrat lebih memberikan kesan kepada pengurangan berat badan berbanding diet rendah lemak sahaja. Ia memberikan rasa kenyang lebih lama kepada orang yang cuba menurunkan berat badan.

 

Tinggi Antioksidan

Disebabkan buah zaitun mempunyai jumlah antioksida yang tinggi, minyak zaitun sangat berpotensi untuk menjadi makanan yang berupaya untuk mencegah kanser. Ia mempunyai bahan anti-kanser seperti akteoside, hidroksitirosol, dan asid fenil propionic. Bahan-bahan ini memainkan peranan penting dalam mencegah kanser dan membantu penyembuhan bagi pesakit kanser. Minyak zaitun mengandungi vitamin K dan E yang membantu mencegah seseorang menghidap penyakit kronik kerana mempunyai antioksidan yang tinggi.

 

Meningkatkan Kesihatan Kulit

Diet yang menggunakan minyak zaitun bukan sahaja membawa kebaikan kepada penghidap penyakit tidak berjangkit, malah membawa kebaikan dalam meningkatkan kesihatan kulit dan juga mental. Disebabkan minyak zaitun mempunyai vitamin E yang tinggi, ia dapat menghidratkan kulit dan mempercepat penyembuhan kulit. Ketidakseimbangan hormon seperti jerawat, ekzekma dan masalah kulit juga boleh dikawal dengan menggunakan minyak zaitun secara semulajadi. Selain itu juga, pengambilan makanan tinggi asid lemak mono tidak tepu dapat menangani masalah emosi yang susah dikawal dan merawat tekanan mental yang dihadapi.

 

Berdasarkan perspektif Islam, minyak zaitun terbukti hebat. Di dalam Al-Quran buah zaitun disebut sebanyak tujuh kali bersama dengan buah lain seperti kurma, delima, buah tiin dan juga anggur. Kesemuanya mempunyai kuasa hebat untuk kesihatan.

Diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Minumlah minyak zaitun dan berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah dari pohon yang diberkati.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi dan Ibnu Majah).