Wow! Ajaibnya Daun Moringa!

 

Daun kelor atau nama saintifiknya Moringa oleifera merupakan tumbuhan yang mampu merawat masalah kekurangan nutrien dalam badan. Ianya bersifat antioksidan dan kaya dengan pelbagai nutrisi. Moringa adalah tumbuhan yang besar berasal dari India utara. Ia juga dikenali dengan nama pokok drumstick, pokok lobak atau pokok minyak.

 

Moringa mempunyai begitu banyak khasiat tersendiri dalam perubatan dan kesihatan manusia, termasuklah:

 

  • Kandungan nutrisi yang tinggi

Bahagian yang paling berkhasiat pada pokok moringa adalah daunnya. Daun moringa kaya dengan vitamin B, vitamin C dan provitamin A. Kandungan zat dalam 100g daun moringa segar yang dimasak bersamaan dengan kandungan zat dalam makanan-makanan lain yang bergizi tinggi. Daunnya boleh digoreng dengan sedikit minyak masak seperti penyediaan bayam. Ia juga boleh direbus dan dijadikan sup. Bukan itu sahaja, daun moringa boleh dikeringkan dan dijadikan serbuk untuk digunakan dalam masakan lain.

 

  • Membantu menurunkan kolestrol

Kolestrol tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung. Kajian menunjukkan bahawa daun moringa sangat berkesan dalam mengurangkan kadar kolestrol.

 

  • Mencegah diabetes

Serbuk daun moringa dapat mengurangkan tahap lipid dan glukosa serta mengawal selia oksidatif stres pesakit diabetes. Hal ini bermaksud ia boleh merendahkan gula darah dan kolesterol, sekali gus meningkatkan perlindungan terhadap kerosakan sel.

 

  • Penambah zat untuk ibu hamil

Daun moringa digunakan sebagai penambah zat bagi masalah kekurangan vitamin, terutamanya kepada ibu hamil dan ibu yang menyusukan bayi. Kandungan zat yang tinggi dalam daun dan buahnya membantu ibu hamil atau ibu menyusu mendapat zat tambahan.

 

  • Melindungi hati

Moringa mengandungi kepekatan polyfenols yang tinggi dalam daun dan bunga. Ia berfungsi melindungi hati daripada pengoksidaan, keracunan, dan kerosakan. Minyak moringa juga boleh memulihkan enzim hati kepada tahap normal, mengurangkan tekanan oksidatif serta meningkatkan kandungan protein dalam hati.

 

  • Menstabilkan tekanan darah

Daun moringa dapat menstabilkan tekanan darah dalam badan. Hal ini kerana tekanan tinggi boleh menimbulkan banyak risiko, termasuklah penyakit jantung yang membahayakan kesihatan seseorang.

 

  • Membantu sistem penghadaman

Daun moringa mempunyai sifat antimikrob dan antibakteria yang dapat melawan jangkitan. Ia berkesan terhadap kulat yang menyebabkan jangkitan pada kulit dan bakteria yang bertanggungjawab untuk jangkitan saluran darah dan kencing serta masalah penghadaman.